Want your
own Fotopage?






 
IKAN PUYU
Anabas testudineus
By: Hussain Mat Din

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 6-Sep-2005 00:00 Email | Share | Bookmark
BAGAIMANA NAK BUAT PEKASAM

IKAN PEKASAM
IKAN PEKASAM
Pekasam Ikan Puyu Pembuka
Selera Cara Kampung

(Utusan Melayu - 11/02/98)

MENEJELANG musim timur masyarakat sebelah utara sering gemar menjalankan aktiviti menimba ikan dari telaga ikan masing-masing
Selalunya hasil tangkapan daripada menimba itu melebihi untuk makan atau hidangan se isi keluaga selama beberapa hari ini.
Sehubungan itu, para isteri atau golongan tua yang tinggal di kampung-kampung sering menjadikan lebihan ikan-ikan ini untuk dijadikan makanan pembuka selera masyarakat di sini iaitu pekasam.
Selalunya pekasam ini dibuat dengan menggunakan ikan-ikan sawah atau disebut juga ikan darat atau telaga seperti puyu, sepat dan juga lampam.
Fatimah Long salah seorang daripada mereka yang gemar membuat ikan pekasam, ikan-ikan darat yang lain seperti keli dan haruan tidak sesuai dijadikan pekasam memandangkan saiznya terlalu besar. Lagipun sudah menjadi kebiasaan ikan-ikan itu tidak dibuat pekasam.
Katanya, selain menjadi makanan kegemaran orang-orang kampung, pekasam kini mula popular dan mendapat tempat di hati penduduk bandar juga.
Malah katanya, pekasam kini sudah dijadikan bahan dagangan yang boleh mendatangkan sumber kewangan untuk menambah pendapatan terutamanya kepada penduduk kampung yang rajin membuatnya.
Menurut rakan-rakannya yang lain, mereka yang betul-betul berminat untuk membuat pekasam sama ada untuk hidangan keluarga atau untuk dijual boleh membuatnaya sendiri kerana ia tidaklah terlalu sukar.
Bagi Fatimah, dia memang sudah sebati dengan makanan itu dan tidak menjadi kejangalan kepadanya sekiranya hidangan untuk tengah hari atau malam hanya ada pekasam tanpa ikan laut yang lain.
Menurutnya, pekasam jika digaul bersama nasi yang panas-panas memang memang menyelerakan kerana makanan itu tidak hanya tertumpu untuk digoreng sahaja.
"Orang selalu melihat pekasan sesuai untuk digoreng sahaja, tetapi sebaliknya pekasam juga boleh dimakan dengan pelbagai cara.
"Kita juga boleh membakar pekasam atau pun boleh untuk dimasak lemak bersama serai dan bawang besar mengikut cara kampung," katanya.

Cara Membuat Pekasam:
Bahan-bahannya:
2 pot susu beras
20 ekor ikan (puyu/sepat/lampam)
1 cawan garam
Cara membuatnya:
Basuh ikan sehingga bersih dan gaulkan bersama garam. kemudian peramkannya selama dua malam.
Serbuk Pekasam
Goreng beras tanpa minyak sehingga kekuningan dan biarkan selama 15 minit. Kemudian mesin atau kisarnya sehingga hancur.
Selepas itu, beras yang telah hancur diayak dan ambil hasilnya. Keluarkan ikan yang telah dua malam diperam dan gaulkan bersama serbuk tersebut.
Peram semula selama dua malam dan setelah itu boleh dimakan.


Ikan Pekasam Ubah Hidup Zainab
(Berita Harian - 07/10/2000)

Walaupun perusahaan ikan pekasam membolehkan Zainab mendapat RM4,000 sebulan, beliau tetap berjimat-cermat kerana bimbang kesusahan hidup masa lalu berulang lagi

Lapan tahun lalu, hidup Zainab Itam sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Rumah sendiri tidak ada dan terpaksa menumpang di rumah adik ipar. Untuk mencari sara hidup, beliau dan anak keluar menahan pukat sehingga jauh malam.
Rezeki ternyata murah. Pukat yang ditahan, tidak henti-henti mengena. Terlau banyak ikan, hingga tidak habis dimakan. Ketika itulah timbulnya idea untuk membuat pekasam.
Pekasam ialah ikan yang diperap antara dua hingga tiga hari dalam bancukah beras goreng yang dikisar atau digiling halus. Rasanya yang masam-masam lemak, membuatnya paling digemari.
"Mulanya saya buat sedikit saja, kira-kira lima kilogram ikan Pekasam itu kami jual di 'nat' (pekan sehari). Sekejap saja habis. Minggu berikutnya ramai pelanggan bertanyakan pekasam sehingga ada yang sanggup menempah takut kehabisan. Sejak itulah nasib kami sekeluarga mula berubah," katanya memulakan cerita.
Dengan hanya berbekalkan tulang empat kerat serta semangat juang yang kental, Zainab meneruskan perniagaannya sehingga berjaya melepaskan diri dan keluarga daripada jerat kemiskinan.
Kini mereka tinggal di rumah sendiri di kampung Darat, Berseri, Perlis,. Kejayaan yang dicapainya dalam perniagaan itu amat membaggakan dengan jumlah pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Zainab berkata, pekasamnya mendapat sambutan di luar dugaan. Lepas setahun, beliau tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan malah mereka datang mencari.
Apabila dikenal pasti berdaya maju. Zainab diterima menjadi peserta Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) di bawah Jabatan Pertanian negeri Perlis.
Beliau menerima bantuan RM20,000 untuk membeli kelengkapan seperti mesin pengisar, peti sejuk untuk menyimpan ikan, bekas dan sebagainya. Wang itu juga digunakan untuk membina bengkel yang dilengkapi rak serta tempat membersih ikan yang sempurna.
Zainab tidak perlu keluar memukat ikan lagi. Ikan yang diperlukan, dibeli terus daripada peraih.
"Sekarang saya terima antara 30 hingga 60 kilogram ikan lampam sehari. Kalau sebanyak itu, kami siang sendiri tetapi kalau lebih, saya upah orang untuk membantu.
"Ketika ini setiap bulan, 200 kilogram pekasam dihantar kepada ejen di Kuala Lumpur, manakala 240 kilogram lagi dihantar ke Pekan Rabu. Yang dijual sendiri di rumah, tidak kurang daripada 20 kilogram sehari. Untuk pelanggan tetap saja, sudah melebihi 1,000 kilogram sebulan. Harga tolak, RM4 sekilo gram dan untuk jualan runcit pula, RM6." katanya. Ini bermakna, jumlah pendapatannya mencecah RM4,000 sebulan.
Zainab berkata, membuat pekasam memang mudah tetapi kebersihan amat penting kerana kalau seekor lalat pun dibiarkan hinggap atas ikan yang diperap, semuanya mungkin rosak. Itulah sebabnya, bahagian terbuka bengkel beliau ditutup dengan skrin halus.
"Ikan mesti dicuci bersih. Sedikit kesan darah pun tidak boleh tinggal. Lepas itu, ikan digaul dengan garam kasar (10 kilogram ikan dicampur tiga kilogram garam) dan diperap semalaman.
"Esoknya, ikan dibersihkan semula dan disejat. Bagi setiap 10 kilogram ikan saya gunakan 1 kilogram serbuk beras yang digoreng. Ikan tadi dicelupkan dalam campuran beras yang tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Ikan itu disusun dalam bekas yang bersih dan dibiarkan 'masak' untuk sekurang-kurangnya dua hari. Baru sedap kalau digoreng.
"Itu saja caranya. Saya tidak campur ramuan lain. Ada setengahnya, mencampurkan gula Melaka tetapi cara itu tidak sesuai bagi saya," jelas Zainab.
Walaupun pendapatannya kini lumayan, Zainab tidak pernah lupa pada zaman susahnya. Kehidupan barunya sama saja. Rumah batu yang belum siap dibina, tidak mempunyai kelengkapan mewah seperti permaidani tebal atau kerusi empuk, peti telivisyen berukuran besar dan sebagainya.
"Bagi saya, mengumpul wang lebih penting. Saya tidak dapat melupakan masa kami susah dulu. Ada masanya, tidak ada wang langsung untuk membeli makanan. Saya takut ia akan berulang. Itu sebabnya saya tidak suka membazir.
"Biar rumah atau pakaian tidak cantik asalkan kita mempunyai wang yang cukup untuk menjamin masa depan lebih baik bagi kami anak-beranak.
"Sekarang pun, perasaan takut masih ada. Pengalaman dulu mengajar saya lebih berhati-hati dalam menghadapi cabaran. Yang penting ialah usaha dan semangat untuk terus mencuba. Apabila susah dulu, memang mudah untuk mengalah; melayan rasa kecewa.
Ini bukan caranya. Kalau ingin berjaya, kita tidak boleh berputus asa biar apa pun terjadi. Bangun rebah dalam perniagaan adalah perkara biasa. Kalau tabah dan yakin kita mesti dapat mengatasi segalanya," katanya.


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2014.

ns4008229.ip-198-27-68.net